Rubinga Heritage

Sejarah

DSC_2556

Kandang kuda Rubinga Heritage mula dibuka pada tahun 2008 oleh Tuan Haji Rusnan bin Ngadio (Rubinga), seorang hamba Allah berbangsa Melayu berketurunan Jawa. Ideanya tercetus selepas mendapat inspirasi daripada Al-Quran dan hadith serta bacaan sejarah melalui tokoh-tokoh dunia yang berjaya memimpin sekelompok manusia atau tamadun itu, bahkan sepertimana kehebatan Rasulullah SAW yang mampu memimpin masyarakat Jahiliyyah dan seluruh umat termasuk kita di akhir zaman, qudwahnya kekal diingati sehingga ke hari ini.

Tokoh-tokoh dunia ini kebanyakannya meluangkan masa kecil mereka dengan aktiviti mengembala, yang mana ia amat membentuk sikap dan karakter individu itu ke arah menjadi seorang pemimpin yang luar biasa. Penuh dengan sifat manusiawi seperti empati, disiplin, fokus, rendah diri, tegas, sabar dan banyak lagi hikmah-hikmah yang ditemui hasil kajian sejak pembukaan kandang kuda Rubinga Heritage ini amatlah sesuai dipupuk kepada golongan anak muda – remaja dan belia.

Misi pembukaan kandang adalah bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk menyelami rekreasi sunnah ini tanpa rasa beban kewangan dan memastikan para peserta dapat menghayati hikmah dan falsafah di sebalik sunnah berkuda dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW. Kami ingin mendekatkan masyarakat dengan aktiviti berkuda, kerana ia adalah suatu sunnah yang telah lama ditinggalkan akibat penceraman paradigma masyarakat oleh Barat, bahawa kuda adalah sangat mahal, kos penjagaan kuda amatlah tinggi dan sukan berkuda adalah perjudian. 

Selepas 10 tahun operasi, kini kandang kuda telah mempunyai lebih 40 ekor kuda, dua cawangan kandang kuda iaitu Rubinga Equestrian Park (REP) yang kini beroperasi di Lorong Changkat Damai, Kg. Changkat, Gombak dan MAEPS Rubinga Equine Centre (MREC) yang terletak di MAEPS, Serdang. Sambutan 10 tahun Rubinga Heritage ini telah dilaksanakan dalam program Fun Day pada 2018 di REP, Gombak.

FUNDAY

Walaubagaimanapun, dalam menyebarkan ilmu-ilmu tentang sunnah berkuda ini, kami juga masih melakukan penyelidikan, pembacaan, eksperimen dan sehingga kini kami masih belajar dan menemukan perkara-perkara baru sepanjang kandang ini beroperasi. Kerjasama antara pihak universiti dan para penyelidik amat dialu-alukan dalam mengembangkan ilmu berkuda, lebih-lebih lagi kajian menurut perspektif Islam yang masih kekurangan bahan.

Program infaq kuda juga diperlukan samada dalam bentuk infaq beberapa ekor kuda, wang ringgit untuk menampung kos pembangunan dan operasi kandang dan juga kos penganjuran program kemasyarakatan terutama bagi golongan anak-anak yatim, asnaf dan OKU. Kami juga banyak melakukan aktiviti kebajikan seperti memberi peluang kepada murid-murid ponteng tegar dan bermasalah disiplin untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan menjaga kuda yang akhirnya dapat membentuk semula jati diri mereka dalam menongkah arus kehidupan.

Antara program yang mendapat sambutan hangat orang ramai dan media sehingga tercetusnya sebuah dokumentari 40 minit Al-Quran dan Sains terbitan TV Al-Hijrah adalah program Pendedahan Awal Sunnah Berkuda (PASUB). Program yang sarat dengan Hikmah dan Falsafah Berkuda ini amat membantu masyarakat memahami di manakah sunnah yang sebenarnya di sebalik aktiviti berkuda.